Home » ‘Mak Kata Jangan’ bawa mesej perangi rasuah

‘Mak Kata Jangan’ bawa mesej perangi rasuah

SHAH ALAM – Rasuah Busters merupakan gerakan unik yang membawa perjuangan masa panjang untuk menyelamatkan generasi Malaysia daripada musuh utamanya iaitu amalan rasuah dan penyelewengan kuasa.

Pasukan Teras Rasuah Busters, Profesor Harmandar Singh berkata, orang ramai diseru membantu gerakan sukarelawan itu memerangi gejala rasuah menerusi kempen ‘Mak Kata Jangan’.

Pensyarah sambilan di Taylor University Lakeside Campus itu berkata, kempen ‘Mak Kata Jangan’ bukan sahaja menghasilkan video-video padat dengan saranan dan nasihat tentang bahaya rasuah, malah menganjurkan pelbagai program bagi menyedarkan masyarakat tentang perbuatan jijik tersebut yang memusnahkan bangsa serta negara.

“Saya menyeru agar lebih ramai pihak terlibat dengan kumpulan sukarelawan Rasuah Busters dalam memerangi perbuatan jijik ini yang telah berakar umbi dalam masyarakat sejak sekian lama.

“Sehingga kini, Rasuah Busters mempunyai lebih 200 organisasi yang menjadi rakan strategik dengan jutaan ahli di seluruh negara dengan diketuai Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf.

“Selain terus memberi pandangan bernas di media sosial Rasuah Busters, orang ramai juga boleh menyertai seminar, program wacana dan aktiviti lapangan yang dianjurkan oleh pasukan ini,” katanya kepada Kru Rasuah Busters pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Harmandar yang berpengalaman luas dalam penerbitan iklan komersial di dalam dan luar negara berkata, penerimaan luar biasa kempen ‘Mak Kata Jangan’ membuktikan kesungguhan rakyat untuk mengubah budaya buruk gejala rasuah dalam komuniti negara.

Katanya, amalan rasuah bukan sahaja membinasakan negara, malah merosakkan kredibiliti masyarakat Malaysia yang terkenal dengan budi pekerti mulia.

“Sudah sampai masanya untuk seluruh masyarakat bersatu hati mengubah budaya buruk dan jijik ini. Kerajaan boleh berjimat sekiranya amalan rasuah dapat diatasi, sekali gus menggunakan penjimatan ini untuk membangunkan negara dan memberi manfaat besar kepada seluruh masyarakat,” katanya.

Berkongsi mengenai penghasilan video-video menarik kempen rasuah ‘Mak Kata Jangan’, Harmandar berkata, idea tersebut merupakan gabungan pandangan daripada Pasukan Teras Rasuah Busters.

Menurutnya, keikhlasan dan kesungguhan setiap ahli pasukan Rasuah Busters memerangi rasuah menyaksikan hasil yang diterjemahkan berjaya memberi kesan kepada masyarakat umum.

“Video-video kempen rasuah ‘Mak Kata Jangan’ berjaya menyentuh dan memberi kesan kepada orang ramai.

“Apabila kita ikhlas memberi sumbang bakti dan membuat perkara baik, pasti Tuhan akan membantu kita. Saya berasa sangat bersyukur apabila jutaan tontonan dapat dicapai untuk video-video yang dihasilkan,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai figura ‘Mak’ yang ditonjolkan dalam kempen perangi rasuah, Harmandar berkata, nasihat atau pesanan daripada seorang insan bernama ‘Mak’ itu sangat terkesan kepada semua orang.

Menurutnya, ‘Mak’ merupakan individu yang memberi petunjuk dan pengajaran berguna kepada semua insan sejak dari kecil.

“Apa jua tindakan dan arahan yang diperintahkan oleh ‘Mak’, kita akan patuhinya. Malah tidak teragak-agak untuk meletakkannya terus ke dalam otak dan hati.

“Begitu besar pengaruh ‘Mak’ dalam kehidupan kita seharian. Atas sebab itu, kita di dalam pasukan Rasuah Busters memilih untuk menggunakan elemen ‘Mak’ itu di dalam kempen memerangi rasuah,” katanya.

Share This Post
Have your say!
00

Customer Reviews

5
0%
4
0%
3
0%
2
0%
1
0%
0
0%

    Leave a Reply

    Your email address will not be published. Required fields are marked *

    You may use these HTML tags and attributes: <a href="" title=""> <abbr title=""> <acronym title=""> <b> <blockquote cite=""> <cite> <code> <del datetime=""> <em> <i> <q cite=""> <s> <strike> <strong>

    Thanks for submitting your comment!