APA ITU MAK KATA JANGAN?
Mak Kata Jangan merupakan tema yang dibawakan bersama kempen #RasuahBusters dengan memberi penekanan kepada kesemua rakyat bahawa peringatan dari ibu menjadi teras pencegahan salah laku rasuah sama ada diperingkat individu mahupun kumpulan.
Kejayaan membina semula Negara Malaysia yang bersih rasuah tentunya tidak terpisah dari ibu yang bijak berperanan. Mak Kata Jangan meletakkan posisi ibu sebagai individu yang sentiasa berpesan agar anaknya tidak menghampiri kepada perkara-perkara yang memudaratkan apatah lagi perlakuan jenayah yang merosakkan maruah diri dan keluarga.
Setiap kita sebagai anak perlu sentiasa merasakan bahawa ibu mempunyai kesan besar kepada kehidupan kita. Mak Kata Jangan memberi ilustrasi bahawa setiap ibu membawa peranan yang sama iaitu tidak mahu anak masing-masing menjerumuskan diri mereka ke lembah kebinasaan.
Tanpa mengira latar belakang, bangsa mahupun agama, suruhan dan larangan dari seorang ibu menjadi dasar kepada tumbuhnya nilai-nilai murni yang pada akhirnya membentuk sebuah generasi yang mampu membangun tamadun #NilaiMoralKarakterBangsa Malaysia yang Berjaya.